Monday, March 23, 2009

MR Nasir : TIPS PEMAKANAN UNTUK BELAJAR DENGAN LEBIH CEMERLANG

Salah satu cara untuk meningkatkan dan mengekalkan kesejahteraan atau kekuatan akal ialah melalui pemakanan yang berkhasiat dan mengelakkan sumber makanan yang boleh memberi kesan yang tidak baik kepada otak. Di sini diberikan sedikit panduan pemakanan untuk membantu dalam kesihatan otak dan sekali gus membantu dalam perkembangan daya pemikiran yang cerdas.

Makanlah makanan otak (brain food)

Makanan yang baik untuk otak termasuklah buah avokado, pisang, daging tanpa lemak, brokoli. beras perang, kobis Brussels, sayuran hijau, tembikai Cantaloupe, telur, kekacang, makanan bersumberkan gandum, oren, mentega kacang, kacang pea, kentang, kacang soya, ikan salmon, ikan tuna, kismis, kurma, badam dan madu lebah. Semua makanan ini kaya dengan anti-oksida, vitamin dan mineral, juga mengandungi nisbah karbohidrat, protin dan lemak yang membantu mengekalkan fungsi badan dan mental yang sihat. Rasulullah pernah memberitahu bahawa akal yang sihat itu terdapat pada badan yang sihat. Lebih-lebih lagi semua jenis makanan di atas adalah sumber semulajadi yang mana sudah tentu tidak mengandungi bahan-bahan tiruan yang mendatangkan kesan sampingan.

Makan makanan yang kaya dengan anti-oksida

Fungsi anti-oksida adalah melindungi sel-sel badan, termasuk sel-sel otak. Sesetengah makanan seperti prune, kismis, strawberi, blueberi, raspberi, bawang putih, kailan dan bayam mengandungi anti-oksida yang sangat tinggi. Tanpa anti-oksida, daya pemikiran akan merosot kerana sel-sel otak akan merosak akibat dari pemusnahan oleh radikal bebas. Oleh kerana itulah kita harus mengambil makanan yang tinggi khasiat anti-oksida dalam diet harian.

Pengambilan serat

Gizi makanan yang seimbang mestilah mengandungi serat. Ia bukan sahaja menyingkirkan toksin dalam badan malah menjauhkan brain fog atau hilang ingatan secara tiba-tiba yang disebabkan oleh toksin dalam badan.

Elakkan lemak berlebihan

Kebanyakan lemak adalah kaya dengan Omega-6. Lemak tepu telah terbukti membantutkan pertumbuhan sel-sel otak, manakala asid lemak Omega-3 merupakan unsur yang menyeimbangkan asid-asid lemak dalam badan juga otak.

Elakkan makanan yang mengandungi bahan tiruan

Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa bahan-bahan tiruan seperti pewarna, perasa atau pemanis, kola, sirap jagung, makanan sejuk beku, minuman segera bergula tinggi, makanan mengandugi MSG dan sebagainya, memberikan kesan tidak baik kepada otak. Secara asasnya makanan-makanan segera atau tiruan mempunyai kesan-kesan negatif jangka pendek dan jangka panjang. Walau sedikit sahaja pengambilan makanan jenis ini, ia akan memberika kesan kepada otak dalam masa 24 jam, lalu menyebabkan mental menjadi bengap, keliru dan kekurangan kuasa penumpuan.

Elakkan gula dan karbohidrat berlebihan

Gula dan juga karbohidrat berlebihan akan menjadikan minda menjadi mengantuk, lemah dan kurang bertenaga, juga boleh menyebabkan terjadinya brain fog, dengan kerana itu minda tidak dapat menjalankan proses berfikir dengan jelas dan lancar. Jadi elakkanlah makanan yang mengandungi glukos atau karbihidrat yang tinggi sebelum melakukan tugas-tugas yang banyak menggunakan proses berfikir, seperti kerja-kerja penulisan, kreativiti, penyelesaian masalah dan decision making.

Jangan tinggalkan sarapan pagi

Kajian menunjukkan bahawa, apabila kanak-kanak yang tidak makan sarapan pagi telah mula mengambilnya, didapati markah ujian matematik mereka mengalami peningkatan. Tetapi harus diketahui bahawa kita di Malaysia ramai orang suka mengambil nasi lemak sebagai sarapan. Nasi lemak boleh menyebabkan minda menjadi mengantuk, dan kepala ikan bilis yang terkandung dalam sambalnya itu menyebabkan daya ingatan menjadi lemah. Jangan makan nasi lemak pada sebelah pagi. Pastikan ikan bilis dibuang kepalanya sebelum dibuat sambal.

Jangan makan dengan berlebihan

Kesan makan berlebihan untuk jangka masa singkat, darah dalam badan ditumpukan kepada proses penghadaman, maka darah akan berkurangan pada bahagian otak. Untuk jangka masa panjang, oleh kerana lemak yang berlebihan (karbohidrat yang berlebihan akan disimpan sebagai lemak) saluran darah akan menyempit akibat penempelan lemak di sekitar pembuluh darah. Ini menjadikan darah akan kurang mengalir pada bahagian otak, lalu menyababkan otak menjadi lemah.

Alkohol - Elakkan sama sekali

. Dari segi kesihatan mental , arak atau alkohol akan membunuh sel-sel otak yang mennyebabkan kewarasan dan kecedersan fikiran merosot. Ramai yang mengadu bahawa alkohol telah menjadikan memori dan daya intelek mereka melemah akibat pengambilan alkohol.

MR Nasir : Menjejak Impian


Saya bersekolah di kawasan luar bandar dan pada ketika itu kaunseling masih lagi tidak begitu berkembang dan saya tidak mendapat pendedahan tentang kaunseling dan tidak pernah mengetahui apa itu kaunseling. Setelah melangkah ke sekolah menengah saya telah telah mengetahui tentang wujudnya kaunseling di sekolah namun saya masih tidak mengeti pengisian sebenar kaunseling sehingga tidak pernah atau berminat untuk mendapatkan khidmat kauunseling walaupun saya menghadapi masalah. Saya bukanlah seorang pelajar yang cemerlang ketika di menengah rendah. Saya di tempatkan di kelas keenam daripada lapan kelas yang ada ketika itu. Persekitaran dan rakan-rakan ketika saya di menengah rendah juga tidak banyak mendorong atau memberi inspirasi untuk saya berjaya dengan cemerlang di dalam pelajaran saya. Namun saya keluarga saya menjadi pendorong utama untuk saya berjaya. Dengan kejayaan kakak dan abang saya yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan menjadi kebanggaan keluarga saya merasakan saya juga harus belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran dan membanggakan kelaurga saya. Boleh di katakan ketika itu saya amat keliru dengan diri saya sendiri sama ada untuk berjaya dalam pelajaran dan mengorbankan keseronokan waktu ramaja bersama rakan-rakan atau meneruskan keseronkan waktu remaja dan tidak mengambil berat tentang pelajaran. Tidak di nafikan walaupun dengan azam yang kuat saya masih lagi terleka dengan persekitaran dan rakan-rakan yang menjurus kepada keseronokan. Walaubagaimanapun dengan azam yang kuat saya tekadkan diri untuk membuat jadual ulang kaji pelajaran di rumah supaya tidak leka. Dengan tidak mengetahui teknik dan cara untuk membuat jadual yang betul saya hanya mencuba. Walaupun ia tidak dapat di ikuti sepenuhnya namun akhirnya saya mendapat keputusan yang agak cemerlang di dalam Penilaian Menengah Rendah yang membolehkan saya mendapat tempat di kelas elit di sekolah tersebut di tingkatan empat.

Di tingkatan empat saya terpaksa menyesuaikan diri dengan rakan-rakan yang tidak saya kenali kerana hanya saya seorang daripada kelas saya yang dahulu berjaya untuk masuk ke kelas ini. Suasana pembelajaran dan komunikasi di dalam kelas ini juga amat berbeza dengan apa yang saya pernah lalui ketika di menengah rendah dahulu. Disini semuanya mementingkan pencapaian dalam akademik dan kadang-kadang saya merasa rendah diri untuk berada di kalangan mereka. Disinilah muncul konflik dalaman apabila saya merasakan saya tidak sesuai untuk berkawan dengan orang yang bijak seperti mereka dan ingin keluar daripada kelas tersebut dan kembali ke kelas biasa bersama rakan-rakan yang dahulu. Namun dengan nasihat ibu, abang, kakak, dan guru saya cekalkan hati untuk berada di kalangan mereka. Saya cuba membuat penyesuaian diri dengan rakan-rakan baru dan mengambil ini sebagai satu cabaran untuk saya lebih berjaya di masa hadapan. Namun setiap penyesuaian yang di buat memerlukan masa. Di tingkatan empat pelajaran saya amat merosot dan amat membimbangkan ibu dan diri saya sendiri. Saya mengambil inisiatif sendiri untuk belajar di rumah sepanjang cuti persekolahan agar saya tidak ketinggalan dan dapat menyaingi rakan-rakan lain di dalam kelas tersebut. Saya beruntung kerana apa yang di usahakan saya selama ini berhasil dan saya berjaya untuk ”berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan rakan-rakan lain di dalam kelas ini. Persaingan yang sihat membolehkan saya memperkembangkan lagi minat dan bakat di dalam akademik. Terbukti bahawa rakan sebaya amat memberi pengaruh kepada diri seorang remaja. Kami semua banyak menghabiskan masa untuk belajar bersama dan akhirnya kami semua mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Kami berpisah untuk mengejar cita-cita. Ada di antara kami yang melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, Universiti Teknologi Mara, Politeknik, Matrikulasi, Universiti Putra Malaysia dan sebagainya.

Saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia(UPM) dalam bidang pembangunan manusia. UPM juga banyak memberikan pengalaman baru dalam menempuh kehidupan. Kehidupan yang jauh daripada keluarga memerlukan saya untuk Disinilah saya mempelajari ilmu psikologi dan mula meminati bidang psikologi. Ketika saya sedang menuntut di UPM saya telah berkenalan dengan ramai kawan-kawan yang bukan sealiran dengan saya, dan salah seorangnya adalah senior saya yang sedang menuntut dalam jurusan pendidikan bimbingan dan kaunseling. Disinilah saya mula jatuh hati dalam bidang kaunseling apabila saya melihat karismatik seorang pelajar bimbingan dan kaunseling dalam menuruskan kehidupannya seharian di kampus. Saya menhabiskan pengajian dalam bidang pembangunan manusia yang juga turut menyumbang minat saya kepada bidang kaunseling dan meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang bimbingan dan kaunseling.

Friday, March 20, 2009

MR Ashraf :INFO NOTA-KELEBIHAN MEMBUAT NOTA

Nota adalah ringkasan dan isi –isi penting dari matapelajaran yang kita dipelajari. Kejayaan seseorang pelajar di dalam peperiksaan banyak bergantung kepada kemampuannya menyediakan nota yang baik.Hasil dari satu eksperimen yang dijalankan didapati pelajar yang membuat nota mendapat 65% manakala pelajar yang mengharapkan daya ingatan semata-mata hanya 25% .Antara kelebihan membuat nota ialah:

· Menjimatkan masa untuk ulangkaji ringkas terutamanya disaat akhir peperiksaan.
· Nota sebagai tanda kita telah memahami pelajaran yang dipelajari dan ia boleh dianggap sebagai inti-pati bagi matapelajaran berikut.
· Membezakan diantara fakta yang penting dan yang kurang penting . Ini bererti nota yang kita tulis itu adalah rumusan penting yang sebaik-baiknya kita kuasai dan hafal.
· Memudahkan proses mengingat.
Berikut adalah senarai langkah-langkah membuat nota yang baik
· Membaca teks pelajaran secara menyeluruh sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sebelum membuat nota.
· Mendapat kefahaman yang menyeluruh.
· Nota yag dibuat mestilah mengikut teks dalam perkara-perkara berikut (ta’rif , dalil , bahagian-bahagian , pendapat-pendapat ). Ini adalah kerana perkara-perkara ini perlu dihafal.
· Menggabungkan syarahan pensyarah dan teks.
· Membuat rujukan ketika perlu.
· Gunakan buku atau kertas kajang yang baik . Sebaik-baiknya menggunakan garisan-garisan berjalur.
· Pastikan tulisan anda jelas, terang dan mudah dibaca. Sebaik-baiknya gunakan dakwat yang lebih jelas dan mudah dibaca.
· Gunakan teknik menggaris kata kunci , simbol , ringkasan huruf dan gambarajah jika perlu.
· Nota yang dibuat hendaklah ringkas dan padat.

PERINGATAN .

Pelajar perlu bijak mengolah dan memanjangkan nota ini ketika peperiksaan. Di sini letaknya peranan kebolehan kita mengarang dengan baik dan peranan kefahaman yang jelas. Tanpa kefahaman dan kebolehan mengarang , bagaimanakah kita akan mendapat markah yang baik. Kerap kali pelajar yang bergantung kepada nota menjadi kaku di dewan peperiksaan dan gagal untuk mengingati kembali isi kandungan paelajaran yang dipelajari .Lebih dahsyat lagi , apabila dia hanya bergantung kepada nota tanpa membaca muzakkirat. Semoga pelaja-pelajar boleh mengaplikasikan untuk membuat nota-nota ringkas dan pendek. Ini kerana ia mempunyai banyak kelebihan. saya juga menggunakan perkara yang sama semasa menuntut di sekolah dan akhirnya keputusannya amat memberangsangka. jadi semoga berjaya adik-adik

Thursday, March 19, 2009

Mr.A : Dunia di Mata - Satu Pengertian ..



Dunia , satu istilah yang secara tradisionalnya diertikan sebagai planet kita diami di kala ini. Namun itu adalah dimensi pemikiran saya 18 tahun yang lalu. Kini segalanya sudah berubah. Dunia bukan lagi satu entiti tunggal kerana telah wujud pelbagai dunia baru ketika ini. Kenyataan yang agak klise ini adalah disebabkan semua perkara diasingkan mengikut dunia masing-masing. Adakah “dunia” menjadi semakin murah dengan penggunaan yang sewenang-wenangnya?. Sebenarnya ia tidak harus menjadi persoalan kerana kewujudan dunia-dunia baru ini mencerminkan kemajuan manusia yang telah membuka pelbagai dimensi baru di dunia ini.

Untuk memperkatakan berkenaan semua “dunia” yang ada ketika ini adalah sesuatu yang mustahil. Namun adalah penting untuk membincangkan “dunia-dunia besar” yang akan mempengaruhi “dunia-dunia kecil”. Dunia-dunia besar yang dimaksudkan saya adalah “dunia politik”, “dunia ekonomi” dan ”dunia pendidikan”. Ketiga-tiga dunia ini amat penting pada pandangan saya.

3 dunia inilah yang mendasari kehidupan umat manusia termasuk saya sendiri. Mungkin ada yang berpendapat bahawa dunia politk adalah permainan golongan atasan. Namun pandangan rigid ini adalah salah sama sekali. Harus diingat tanpa tiang maka musnahlah sesebuah binaan. Begitu juga hubungan antara peminpin dan pengikut-pengikut mereka yang teguh menyokong perjuangan mereka. Dunia politik ini sememangnya diceburi untuk kepentingan tersendiri. Sama ada untuk kepentingan bangsa , negara , agama atau peribadi , watak-watak dalam dunia politik memainkan peranan penting dalam kestabilan sesebuah negara.

Dunia ekonomi pula adalah dunia yang melibatkan semua jenis golongan. Sama ada sedar atau tidak , segala tingkah laku kita akan mempengaruhi dunia ini. Pembelian , penjualan , pembaziran mahupun penjimatan adalah rutin harian kita yang akan terdapat dalam kitaran dunia ekonomi.

Seterusnya , “dunia” yang terus dekat dengan saya dari dulu dan InsyaAllah dengan keizinanNya , dunia pendidikan akan selama-lamanya tersemat di sanubari ini. Dunia pendidikan adalah dunia yang mencorakkan manusia. Sama ada secara formal atau tidak, pendidikan adalah asas terpenting untuk memulakan langkah mencapai kegemilangan. Keseimbangan ketiga-ketiga dunia besar ini menjamin ketamadunan manusia.

“Dunia-dunia kecil” yang terlibat di sekeliling kita seperti “dunia media”, “dunia hiburan”, “dunia automotif” serta pelbagai lagi dunia-dunia kecil ini pula sebenarnya sebagai pelengkap kepada “dunia-dunia besar” ini untuk membentuk satu dunia yang kita gelarkan sebagai “dunia ideal”.
Yang pasti dunia ini hanya persinggahan , namun kejayaan adalah hak setiap insan yang berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari-hari sebelumnya.

Monday, March 16, 2009

Mr. Azni : Tips Mengingat Yang Baik Untuk Pembelajaran Berkesan

Assalamualaikum dan Salam Ceria pada semua pelayar blog ini. Dalam wahana 1 ini, saya ingin berkongsi bersama anda sedikit input yang saya ada untuk kita sama-sama amalkan dalam mencapai matlamat yang diingini. Dalam proses pembelajaran, pelbagai perkara atau aspek yang perlu diberi penekanan dan perlu diberi perhatian. Ini bertujuan untuk kita berjaya dengan cemerlang dalam pembelajaran. Aspek mengingat juga merupakan salah satu aspek yang penting dalam mempelajari sesuatu. Di sini, saya ingin kongsikan beberapa kaedah mengingat yang berkesan yang pernah saya lakukan sepanjang saya belajar dari Tadika hingga Universiti.

1. Membuat Nota Berwarna

a. Dalam membuat nota, warna memainkan peranan penting. Ini kerana warna membantu merangsang otak kita untuk mengingat dengan mudah.
b. Guna pelbagai warna untuk menulis nota. Nota kita bukan sahaja cantik dan menarik malah membantu kita untuk mengingat maklumat berdasarkan warna yang kita gunakan.

2. Menghafal Perkara Yang Telah Dibaca
a. Kaedah ini cukup menarik dan sesuai bagi seseorang yang gemar menghafal. Berikan tumpuan kepada tajuk-tajuk penting.
b. Lakukan dengan cara membaca nota, setelah selesai tutupkan nota dan cuba ingat dalam pemikiran.
c. Setelah itu, baca semula nota berkenaan dan tutup nota setelah selesai membaca. Cuba luahkan apa yang telah diingat secara lisan iaitu luahkan secara kata-kata.
d. Baca semula nota buat kali ketiga, setelah selesai membaca tutup semula nota berkenaan. Kemudian menulis semula apa yang telah diingat dia atas kosong.
e. Membaca semula nota yang baru yang ditulis dan bandingkan dengan yang asal.

3. Ubah Perkataan Isi Penting Kepada Ayat Yang Menarik.

a. Ubah perkataan penting kepada ayat yang menarik supaya kita lebih mudah mengingat.
b. Contoh : Jenis-Jenis Kata
- Kata Nama, Adjektif, Keterangan
Diubah kepada
- “Nama Aku Khalid”

4. Bulatkan Isi Penting Apabila Membaca
a. Apabila membaca nota, GARISKAN perkataan atau isi penting dengan menggunakan warna pen yang berbeza dengan warna nota.
b. Ini bertujuan kita mudah mengingat isi berdasarkan perkataan yang telah kita bulatkan.
c. Contohnya : Belanda menakluki Melaka pada tahun 1511

Mr. Zul Fakhry: Mari Membina Peta Minda Super 2

PETA MINDA

Sebagai calon peperiksaan rasmi sama ada STPM, SPM, PMR mahupun UPSR, kamu tidak seharusnya bersikap tidak kisah terhadap pelajaran. Persediaan awal perlu dibuat sebaik sahaja sekolah dibuka. Kamu sepatutnya sudah mula membuat nota.

Adakah kamu menyediakan nota sendiri sejak awal lagi? Bagaimana bentuk nota kamu? Banyak sebab mengapa kita mesti mempunyai nota yang kita tulis sendiri, kita sediakan sendiri, kita susun sendiri dan kitalah pengarangnya. Membuat nota sendiri perlu dilakukan secara berterusan setiap hari, tidak semestinya menjelang peperiksaan saja.

Abang mula membuat nota kecil sejak di Tingkatan Satu lagi. Jika kamu mahu mengikuti jejak langkah abang, ayuh ... jangan bertangguh ... mulakan dari sekarang. Mari ikut teknik abang....


LANGKAH PERTAMA
Saya menggunakan 12 batang pen berlainan warna termasuk beberapa batang
highlighter sebagai persediaan membuat nota kecil. Sebenarnya, kamu boleh menggunakan kurang atau lebih daripada jumlah pen itu. Terpulang kepada kemampuan dan keselesaan kamu.

LANGKAH KEDUA
Mula membaca buku teks dan buku rujukan. Sambil membaca, kata kunci atau kata penting diwarnakan. Pada masa yang sama, fahamkan betul-betul maklumat yang dibaca. Bacalah mengikut bab atau topik. Tidak perlu baca banyak perkara, yang penting kamu faham, kemudian baru buat nota.

LANGKAH KETIGA
Sehelai kertas bersaiz A4 dilipat kepada empat bahagian atau kolum.

LANGKAH KEEMPAT
Mula menulis nota mengikut kolum . Setiap kolum boleh dibahagikan kepada dua bahagian (sub topik) untuk satu bab ataupun kamu juga boleh jadikan keempat-empat kolum itu untuk nota satu bab sahaja. Di sebelah belakang kertas itu pula, satu bab yang lain. Gunakan pen yang berlainan warna ya. Nota dicatat seringkas-ringkasnya agar dapat meningkatkan tahap ingatan.

LANGKAH KELIMA
Setelah kata kunci ditulis, gunakan highlighter untuk tajuk dan perkara-perkara yang penting. Pastikan kamu gunakan warna yang selari untuk semua nota supaya fikiran kamu tidak keliru. Misalnya, jika warna kuning untuk isi-isi penting, maka gunakan warna yang sama untuk subjek lain pula. Contohnya, tarikh penting-warna merah, nama tokoh-warna biru.

LANGKAH KEENAM
Setelah nota siap ditulis, kamu boleh menghafalnya. Jangan lupa untuk meninggalkan sedikit ruang untuk menambah isi penting apabila guru mula mengajar.

LANGKAH KETUJUH
Ambil sampul surat panjang. Tuliskan mata pelajaran. Kemudian, masukkan nota itu mengikut mata pelajaran. Bawalah nota itu ke mana-mana. Jika ada masa terluang, silalah baca.

Mr. Zul Fakhry: Mari Membina Peta Minda Super 1


PETA MINDA
Kaedah membuat nota jenis peta minda telah diperkenalkan oleh Tony Buzan. Kaedah ini lebih menitik beratkan grafik dan kata kunci. Kaedah ini lebih efektif berbanding dengan kaedah biasa kerana kita dapat menyeimbangkan penggunaan otak kiri dan otak kanan. Di samping itu, peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semula maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan kepada bentuk yang boleh dilihat.

Peta minda boleh membantu kamu mengukuhkan daya ingatan dan pemahaman. Melalui peta minda, kamu berhubung secara aktif dengan maklumat dalam ingatan kamu seolah-olah kamu berbicara dengan daya ingatan kamu sendiri. Segala maklumat yang kamu susun dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan secara tepat dan mudah difahami.


PERSEDIAAN MEMBUAT PETA MINDA
-Tenangkan hati dan pasang niat untuk belajar. Bacalah doa (bagi pelajar Islam), duduk tegak, dan pernafasan biarlah betul

-Tingkatkan konsentrasi. Pastikan suasana tenang, hindarkan sebarang gangguan yang boleh memberi kesan terhadap penumpuan belajar

-Baca teks keseluruhan, terutama tajuk penting, pendahuluan, subtajuk, kesimpulan, soalan / latihan, gambar rajah dan carta
Baca keseluruhan teks dengan laju
Baca dengan sederhana laju dan tandakan fakta-fakta penting
Kenal pasti tajuk utama dan subtajuk yang hendak dimasukkan ke dalam peta minda

-Bina peta minda

KAEDAH MEMBUAT PETA MINDA
-Mula membuat peta minda di bahagian tengah kertas

-Bezakan tajuk utama dan tajuk kecil dengan menggunakan warna yang terang dan berbeza supaya lebih menarik

-Tuliskan tajuk utama di tengah-tengah kertas dan lukis gambar untuk mewakili tajuk utama tersebut

-Gunakan warna yang berlainan dan menarik supaya lebih mudah mengingatinya

-Sambungkan ranting utama ke tajuk yang berada di tengah-tengah. Kembangkannya dengan cara melebar ke tepi

-Tulis atau lukis imej yang menggambarkan fakta di atas ranting utama tersebut. Gunakan simbol



-Tambahkan ranting utama mengikut fakta yang hendak kamu masukkan. Gunakan warna yang berbeza untuk memudahkan kamu mengingatinya

-Kembangkan ranting utama ke ranting kecil mengikut fakta. Jika boleh, kamu gunakan warna yang berbeza antara ranting-ranting kecil ini

Mr Zul Fakhry :Kenapa saya memiLih kaunseling??..


Sepanjang 4 tahun mengikuti Program Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, pelbagai kelebihan telah saya peroleh. Namun yang pasti saya sering kali bertanya kepada diri ini mengapa saya memilih bidang kaunseling sebagai pilihan kerjaya masa depan saya. Pertama sekali, kaunseling membantu saya untuk mengenali dan memahami insan yang bernama manusia dengan lebih mendalam lagi berdasarkan teori-teori kaunseling yang dipelajari. Selain itu, kaunseling merupakan salah satu program yang terbaik untuk membantu saya membentuk sahsiah diri yang unggul serta membentuk disiplin sekaligus meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat dalam alam pekerjaan. Kaunseling bertindak mendidik saya dan rakan-rakan untuk saling membantu di antara satu sama lain di samping mengikis nilai mementingkan diri dalam diri kami.

Kaunseling juga membantu saya untuk terus mencintai bidang psikologi seterusnya memahami setiap kriteria yang harus dimiliki oleh seseorang individu yang berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Di samping itu, kaunseling memberi kelebihan kepada saya untuk meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi apa jua cabaran yang bakal ditempuhi, mengeratkan silaturahim dengan semua individu yang kebanyakannya berasal daripada latar belakang yang berbeza. Pendek kata, kaunseling mematangkan saya untuk menjadi seorang insan yang berguna sekaligus melatih diri saya untuk menjadi seorang kaunselor yang berdisiplin, berdedikasi dan berjaya.

Akhir sekali, dengan memilih bidang kaunseling, saya telah mempelajari cara yang paling berkesan untuk berkomunikasi dengan individu lain dan juga cara untuk hidup berdikari dalam menempuh kehidupan yang penuh cabaran pada masa akan datang. Terima kasih kaunseling.....

Sunday, March 15, 2009

Mr.Ashraf :TIPS MEMBACA DAN MENGINGAT BERKESAN


Assalammualaikum semua. Baiklah, pada kali ini saya akan berkongsi cara membaca dan mengingat dengan berkesan. Petua ini telah saya amalkan semenjak dari sekolah menengah lagi. Hasilnya, alhamdullillah. Ia dapat membantu saya mengingati apa yang di baca dan membuahkan hasil. Semoga anda semua dapat juga memcuba tips-tips di bawah dan seterusnya dapat membantu anda semua mencapai kecemerlangan dan kejayaan. Marilah kita gunakan tips di bawah bersama-sama.

1. sediakan semua peralatan yang akan digunakan untuk aktiviti membaca. di antaranya kertas kosong, pen, pensil, pemadam, pembaris dan sebagainya.

2. sediakan dengan secukupnya bahan yang akan dibaca seperti buku, majalah, nota kelas dan sebagainya.

3. pilih tempat yang sesuai untuk melakukan proses membaca. tempat itu hendaklah kurang gangguan dan kebisingan, tidak terlalu panas dan selesa untuk belajar.

4. untuk melancarkan proses belajar, anda perlu menetapkan tajuk tertentu yang hendak dibaca.

5. tetapkan jumlah muka surat dan jangkamasa diperlukan untuk menyelesaikan aktiviti membaca bahan itu.

6. duduklah dengan cara yang betul. anda boleh memberi tumpuan yang baik dan dapat membaca dengan lebih lama dan berkesan. anda digalakkan duduk di atas kerusi yang berkeadaan tegak dan lurus.

7. tumpukan perhatian dan fikiran anda terhadap bahan yang akan dibaca. mula dengan doa, supaya fikiran anda tenang dan mudah memahami apa yang akan dibaca.

8. gunakan pensil atau jari anda sebagai penunjuk ketika anda membaca. dengan menggunakan penunjuk akan dapat mengawal pergerakan mata dan kadar kelajuan membaca. penunjuk juga boleh menolong menumpukan perhatian kepada bahan yang sedang dibaca dan meningkatkan kadar kelajuan membaca. justeru itu, anda dapat meningkatkan kefahaman semasa membaca.

9. semasa membaca, anda perlu memberi perhatian yang khusus terhadap jadual, rajah dan data - data kerana bahan - bahan ini sangat penting dalam meningkatkan kefahaman anda.

10. semasa membaca, jangan lupa membuat catatan - catatan yang penting.

Selain itu saya turut mengambil contoh daripada beberapa teknik atau kaedah membaca yang telah diperkenalkan oleh beberapa orang pakar dan hasilnya berjaya. Antara dua teknik tesebut adalah :


i. KAEDAH MEMBACA BS3

-melibatkan 4 peringkat

a. browsing

tinjauan awal untuk membolehkan pembaca menilai kesesuaian sebuah buku secara sepintas lalu. cara ini digunakan untuk memilih sebuah buku dari perpustakaan dan tidak memerlukan pembacaan keseluruhan buku.

b. scanning

digunakan untuk mendapatkan idea - idea dan isu - isu utama dengan cepat. tumpuan diberi kepada bahagian yang menjadi kunci kepada pemahaman seperti perkataan penting, isi penting, fakta penting.

c. speed reading

membaca secara cepat. tujuannya adalah untuk mendapat sesuatu gambaran keseluruhan.

d. study reading

perlu membaca dengan berhati - hati untuk memahami butir - butir atau penerangan yang kompleks.

selepas memahami, pelajar cemerlang akan meringkaskan artikel kepada perkataan utama dalam bentuk nota, juga akan menjawab soalan pada hujung setiap topik untuk memperkukuhkan ingatan dan pemahaman.

ii. KAEDAH MEMBACA SQ3R

a. survey - menyelidik dahulu

b. question - bertanya

c. read - membaca

d. recitation - cuba terangkan dengan perkataan sendiri

e. review - ulangkaji

Saturday, March 14, 2009

MR.Amir : Jadual Belajar Efektif




TIPS MEMBUAT JADUAL YANG EFEKTIF (KHUSUS UNTUK PELAJAR SEKOLAH MENENGAH):


JADUAL belajar amat perlu . Ia merupakan satu aspek pengurusan masa . Ia adalah satu ikatan atau disiplin diri , untuk memanfaatkan masa yang terluang . Setelah ditolak masa di sekolah , masa tidur , masa bersukan , masa makan , masa tuisyen ( atau kelas tambahan ) dan lain-lain .
Jadual belajar juga merupakan alat pembahagian di antara semua mata pelajaran yang perlu diberi perhatian . Pembahagian tersebut berdasarkan kepentingan mata pelajaran dan juga kelemahan setiap calon . Jadi jumlah masa belajar untuk setiap mata pelajaran berbeza-beza .
Langkah pertama dalam membuat jadual belajar ialah tetapkan masa belajar . Contohnya
Hari Ahad :
9.00 pagi - 10.00 pagi
10.30 pagi - 12.00 tengah hari
2.00 petang - 3.30 petang
3.30 petang - 5.00 petang
8.30 malam - 10.00 malam
10.00 malam - 11.30 malam
Hari Isnin :
2.30 petang - 4.00 petang
4.00 petang - 5.30 petang
8.30 petang - 10.00 malam
10.00 malam - 11.30 malam

Langkah kedua , ialah mengagihkan kekerapan setiap mata pelajaran , berdasarkan kepentingan dan kelemahan diri .
Contohnya :
Matematik - 4 kali seminggu
Bahasa Inggeris - 2 kali
Sejarah - 4 kali
dan seterusnya
Langkah ketiga , ialah menyediakan jadual yang menggabungkan masa belajar dan agihan mata pelajaran yang disebut di atas .


PERINGATAN :
Oleh kerana masa yang boleh digunakan untuk belajar , berbeza mengikut hari , maka jadual belajar perlu dibuat berasingan . Iaitu setiap hari .
Masa untuk tidur malam yang sebaik-baiknya ialah antara 11.30 malam hingga 6 .00 pagi.
Masa belajar 1 jam 30 minit yang diberi di atas hanya contoh sahaja . Ia boleh dikurangkan kepada 40 minit atau 75 minit atau sebagainya .
Pematuhan kepada jadual , tidak semestinya 100% , kerana pelajar mungkin terpanggil untuk sesuatu tugasan tertentu sama ada yang diperlukan oleh sekolah atau keluarga .



Contoh
Jadual Harian Seharian Pelajar Cemerlang:

05.00 pagi
Bangun pagi, gosok gigi, mandi dan berwuduk
Aktiviti mentelaah dan menghafal



06.00 pagi
Solat Subuh, membaca Al-Quran / mentelaah

07.00 pagi
Bersiap diri untuk ke sekolah dan bersarapan

07.45 pagi - 02.00 petang
Di sekolah ( memberi penumpuan kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran )

02.30 petang - 03.00 petang
Solat Zohor dan berehat



03.00 petang - 04.30 petang
Ulangkaji / kelas tambahan / kelas Al-Quran / kokurikulum

04.45 petang
Solat Asar

07.30 malam
Solat Maghrib berjemaah dan membaca Al-Quran / kuliah agama / makan

08.30 malam - 09.00 malam
Solat Isyak berjemaah dan Sunat Hajat

09.00 malam - 10.45 malam
Ulangkaji pelajaran / persediaan untuk pengajian hari besok / belajar malam

10.45 malam
Mengambil bekalan minda ( roti + susu + madu )

11.00 malam
Tidur

Friday, March 13, 2009

Mr. Zul : Slot 1


Assalamualaikum..dan salam sejahtera kepada semua pengunjung blog ini.. salam perkenalan saya hulurkan kepada anda semua. jika rakan-rakan saya mempunyai bahagian mereka tersendiri.
Jadi di slot ini saya namakannya slot motivasi, dalam slot ini saya akan menceritakan cerita yang bermotivasi, kata-kata motivasi dan segala apa sahaja yang boleh menaikkan motivasi kita bersama.
Tapi kali ini saya bawakan satu ungkapan "kalau berusaha pasti berjaya"
ungakapan ini selalu bermain-main dihujung bibir kitakan... tapi jika direnung dan fikir sedalam-dalamnya dapat diketahui bahawa unkapan ini adalah satu motivasi yang boleh membuat kita akan berjaya. ini kerana Allah telah berfirman di dalam KitabNya yang agung yang membawa maksud "Seseungguhnya Aku (Allah) tidak akan mengubah nasib sebuah umat itu, jika tidak mereka sendiri yang mengubahnya". Dari maksud ayat ini dapat kita simpulkan bahawasanya kita perlu berusaha sekiranya kita menginginkan kejaya.
Disini kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat apa yang kita impikan, dan kita jangan mudah untuk berputus asa walaupun sekali. Jadi renung-renungkan, dan jangan putus asa. Assalamualaikum..

Thursday, March 12, 2009

Mr. Qamar : Cintai iLmu..

Profesion perguruan merupakan bidang yang paling hampir dalam kehidupan ini. Sejak dari kecil diri dididik oleh seorang ayah yang bergelar guru sehinggalah masuk ke sekolah rendah seterusnya menjejakkan kaki ke alam universiti, semuanya tidak terlepas dari pembelajaran secara langsung. Minat yang semakin hari semakin mendalam telah mendorong untuk bergelar seorang guru satu hari nanti.
Alhamdulillah, berkat doa ibu bapa dan rakan seperjuangan akhirnya diri ini diterima masuk ke UPSI dan dapat mengambil jurusan yang menjadi pilihan iaitu bimbingan dan kaunseling. Walaupun bidang ini seakan masih baru di Malaysia tetapi ia tetap menjanjikan seribu harapan yang cerah untuk masa hadapan.
Semenjak dari dahulu, minat terhadap bidang pendidikan ini menebal lebih-lebih lagi apabila dapat berdamping dan bekerja dengan makhluk Tuhan yang paling mulia di muka bumi ini, mudah untuk mengenal manusia dari segi luaran tetapi hakikatnya begitu sukar untuk menilai seseorang dari sudut dalaman.
Berasaskan kenyataan inilah timbulnya keinginan untuk mengetahui dan mendalami bidang kaunseling dengan lebih dekat seterusnya dapat mengaplikasikannya apabila bergelar seorang kaunselor kelak.

Mr. A : Episod 1




Assalamualaikum dan salam mesra..



Saya adalah salah seorang daripada Super Kaunselor yang boleh anda semua kenali sebagai Mr.A. Saya juga bertindak sebagai admin blog berkonsepkan ilmiah santai ini.



Pada episod 1 ini , suka saya menceritakan berkenaan pengalaman saya menjadi seorang pelajar. Elok kiranya jika saya mulakan dengan kisah saya menjadi pelajar pada usia awal kanak-kanak sehingga tamat sekolah rendah dahulu.



Ketika ini , A yang berusia 23 tahun adalah anak sulung dari 8 orang adik beradik. Namun 17 tahun yang lalu ketika masih berusia 6 tahun , A hanya mempunyai 2 orang adik. Seorang perempuan dan seorang lelaki. Sebagai anak sulung , sememangnya harapan ibu bapa pada A sangat tinggi. Bagaimanapun harapan itu bukan sekadar harapan kosong kerana ibu bapa A banyak berkorban wang ringgit demi memastikan kejayaan A sejak dari kecil lagi.



Pembelajaran prasekolah A bermula di Taska Seri Julia yang terletak berdekatan tempat kerja bapa dan di situ jika A masih boleh ingat , suasana pembelajaran nya sangat menyeronokkan dan menyebabkan sentiasa bersemangat untuk hadir ke Taska tersebut.



Kemudian melangkaui usia 7 tahun , A kembali bersekolah di kampung di Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa. Apa yang ingin diceritakan di sini ialah bagaimana pembelajaran interaktif di rumah menjadikan A seorang pelajar yang cemerlang semenjak bangku sekolah rendah lagi.



Di sini ingin dikongsikan satu tips menggunakan ruang terhad sebagai pusat ilmu di rumah dan di kelas. Sebagai anak sulung di rumah , A mempunyai meja belajar sendiri yang dibaluti plastik dan dihias ceria oleh ibu. Di bawah alas plastik meja itu diletakkan maklumat penting seperti sifir-sifir yang ditukar setiap hari , glosari perkataan-perkataan sukar dan peta minda subjek yang berkaitan.Dengan ini meja yang kosong itu sebenarnya boleh menjadi sumber maklumat dan sumber inspirasi untuk kita terus melekat pada meja belajar itu. Kaedah menggunakan meja ini juga boleh dilakukan di dalam kelas namun diingatkan agar tidak meletakkan barang berharga , mempunyai nilai memori serta gambar-gambar peribadi agar keselamatan barang dan peribadi kita terjamin.



Ok setakat ini dulu perkenalan kita .. diharapkan tips pertama pada minggu ini dapat diaplikasikan oleh para pembaca hangat sekalian.



"selamat belajar"..

Wednesday, March 11, 2009

Salam Pembuka Bicara Gerbang Bijak Belajar..

Assalamualaikum..
Salam sua mesra kepada para pengunjung blog terbaru ini..
Blog ini bakal menjadi wadah dalam perkongsian isu-isu dalam bijak belajar..
Para penulis yang amat ceria serta aktif dan berpengalaman dalam proses bijak belajar ini akan sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman untuk dimanfaatkan semua..
Teruskan setia dengan Gerbang Bijak Belajar ini kerana di sini segala apa yang ingin anda ketahui tentang cara-cara menjadi pelajar cemerlang akan disediakan..
Para pembaca juga amat dialu-alukan untuk memberi komen dan berkongsi idea bagi memantapkan lagi blog penuh ilmiah yang akan disampaikan secara santai..
Selamat meneroka potensi diri..